SIMPOSIUM Ilmuan Islam 2009 anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dan Khilafah Centre Sabtu lalu (5 Disember 2009) yang berlangsung di Auditorium Abu Zarim, Integrated Learning Solution (ILSAS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, Selangor telah berjaya menarik lebih 300 Ilmuwan Islam dari seluruh Malaysia.
Selaras dengan tema “Ilmuan Bersatu Menggagas Penegakan Syariah dan Khilafah”, simposium yang julung kali diadakan oleh HTM ini dihadiri oleh pimpinan parti politik tanahair, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam, ahli akademik dari IPTA dan IPTS, pemimpin gerakan Islam, pegawai agama negeri, pemimpin masyarakat, serta imam-imam masjid dan surau seluruh negara.
Bermula dari jam 8 pagi dan tamat pada lebih kurang jam 5.00 petang, simposium ini dipengerusikan oleh Prof. Dr. Muhammad dan menghadirkan tiga orang ahli panel iaitu Ustaz Ridhuan Hakim dan Ustaz Umar Hussain yang merupakan AJK Pimpinan Pusat HTM, serta Presiden HTM sendiri, Ustaz Abdul Hakim Othman.
Selaras dengan tema simposium, ketiga-tiga ahli panel berjaya menegaskan kepada para Ilmuwan Islam yang hadir bahawa hanya penegakan Syariah dan Khilafah sahajalah menjadi satu-satunya jalan untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.
Simposium dimulai dengan Kalimah Iftitah (Kata Pembuka) dari Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha' Abu Rasytah yang disiarkan secara audio dan bertulis kepada hadirin. Antara intipati ucapan pemimpin tertinggi Hizbut Tahrir seluruh dunia itu ialah, beliau menyeru kepada semua ulama bahawa Islam tidak akan dapat diterapkan dengan sempurna tanpa sebuah negara iaitu Khilafah. Selaras dengan itu, Hizbut Tahrir seluruh dunia berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah untuk menegakkan Khilafah yang merupakan 'vital issue' (masalah utama) bagi kaum Muslimin dan merupakan satu kewajipan yang teramat jelas. Hizbut Tahrir akan terus berjuang menjadikan Khilafah sebagai pendapat umum (ra'yul am / public opinion) di kalangan umat Islam dan Khilafah adalah sebuah kenyataan yang terlihat jelas di hadapan mata Hizbut Tahrir, tegasnya dalam audio tersebut.
Di akhir ucapannya yang mengambil masa lebih kurang setengah jam, Amir Hizbut Tahrir itu menyeru,
“Wahai para ulama yang dimuliakan! Sesungguhnya, ulama yang bertakwa dan ikhlas lebih berhak atas urusan ini (menegakkan Khilafah), dan tempatnya selalu di barisan terhadapan dalam setiap kebaikan. Untuk itu, kami tidak ingin hanya berkata kepada anda, “Sokonglah kami, tolonglah kami dan bantulah kami.” Namun, dengan rasa hormat dan ketulusan dari lubuk hati yang paling dalam, kami ingin berkata kepada anda lebih dari semua itu, “Berjuanglah bersama kami, dan bekerjasamalah dengan kami, untuk kebaikan ini.” Sesungguhnya kemuliaan Islam dan kaum Muslimin adalah di tangan Allah dan sudah semakin hampir. Semua itu pasti akan terwujud dengan izin Allah.”
Majlis kemudian diteruskan dengan pembentangan kertas kerja pertama oleh Ustaz Ridhuan Hakim yang bertajuk “Peranan Ilmuwan dan Gerakan Islam di Dalam Menegakkan Syariah Dan Khilafah”. Secara umumnya, Ustaz Ridhuan menekankan bahawa para Ilmuwan Islam perlu terus berinteraksi dengan masyarakat dan menjadi barisan hadapan memimpin perubahan pemikiran masyarakat kerana mereka adalah golongan yang dihormati dan suara mereka didengar oleh masyarakat. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh para Ilmuwan adalah membawa perjuangan ini (penegakan Syariah dan Khilafah) ke dalam tubuh umat, agar umat bersama-sama berjuang ke arah kebaikan ini.
Ustaz Abdul Hakim pula, di dalam kertas kerjanya menjelaskan secara terperinci akan methodologi untuk menegakkan Khilafah. “Umat Islam perlu yakin bahawa mereka kini hidup di negara kufur dan perlu yakin bahawa menegakkan negara Islam Khilafah merupakan satu kewajiban yang mana negara tersebut akan menjadi intisusi penegak segala hukum Allah di muka bumi. Justeru, Ilmuan dan gerakan Islam mesti bersatu tekad, suara dan usaha bagi merealisasikan kewajipan ini” tegasnya.
Presiden HTM itu seterusnya menyatakan bahawa Rasulullah telah menunjukkan jalan kepada kita bagaimana untuk menegakkan Daulah Islam, yakni perjuangan baginda selama 13 tahun di Mekah, sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Jelasnya, lagi, Hizbut Tahrir mengambil thariqah (jalan) Rasulullah ini di mana jalannya adalah secara politik dan intelektual tanpa kekerasan. Inilah metode yang wajib diikuti oleh setiap Muslim dan gerakan Islam. Beliau dengan tegas mengatakan bahawa usaha menegakkan Khilafah tidak akan diredhai oleh Allah jika tidak mengikut thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Demokrasi dan pilihan raya yang ada sekarang bukanlah caranya, tegas beliau lagi.
Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Umar Hussain yang menyampaikan tajuk "Cabaran dan Ancaman Penegakan Syariah dan Khilafah". Beliau dengan lantang menegaskan bahawa syariah sudah tidak lagi wujud dalam kehidupan umat Islam kini dan ia telah lama diganti dengan sistem sekular. Perjuangan Rasullah SAW dan para sahabat dahulu, semasa fasa Mekah menghadapi pelbagai cabran dan ancaman seperti baginda dituduh sebagai orang gila, tukang sihir serta menghadapi kekerasan fizikal dari pemerintah kafir Quraisy, ujarnya. Dan begitulah juga ancaman dan cabaran yang dihadapi oleh Hizbut Tahrir dan gerakan Islam lainnya di dalam menegakkan agama Allah sekarang. Malangnya, kata Umar Hussain, kalau Rasulullah dahulu dizalimi oleh Quraisy yang kafir, tetapi kini umat Islam dizalimi oleh pemimpin mereka yang beragama Islam.
Selepas makan dan solat, simposium bersambung dengan sessi soal-jawab dan dialog di antara para Ilmuan dan pemimpin HTM. Ternyata, para Ilmuan yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan dan memberikan komen yang menunjukkan persetujuan mereka kepada perjuangan Hizbut Tahrir dalam menegakkan Syariah dan Khilafah.
Selesai soal-jawab dan dialog, majlis diakhiri dengan acara kemuncak yang dilakukan oleh Ustaz Abdul Hakim dengan membacakan Deklarasi Simposium. Laungan TAKBIR bergema sebanyak tiga kali di Auditorium Abu Zarim seusai Presiden HTM itu membacakan deklarasi dengan penuh semangat. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Abu Arsyad dan sebelum bersurai, para Ilmuan dijemput turun satu per satu dari tempat duduk masing-masing untuk bersalaman dengan barisan kepimpinan HTM sebagai tanda kekuatan ukhwah sesama Muslim.
HTM dengan ini mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua Ilmuwan yang hadir dan tidak lupa juga kepada ramai yang ingin hadir tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana ada keuzuran. Semoga Allah menyatukan hati-hati dan usaha kita ke arah perjuangan menegakkan Syariah dan Khilafah. ALLAHU AKBAR!
0 comments:
Post a Comment